Wednesday, 6 March 2013

Antara kesan "projek IC' yang mengancam keselamatan negara


KUALA LUMPUR: Memang benar bahawa mereka yang menjayakan projek pengeluaran kad pengenalan kepada warga asing adalah dalang sebenar kepada keganasan dan ancaman keselamatan di Sabah yang berlaku sekarang.

“Sebenarnya, mereka ini jugalah yang membuka pintu negara untuk diceroboh, ditawan dan diserang oleh mana-mana pihak yang ingin mengambil kesempatan,” ujar Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor dalam satu kenyataan.

Kenyataan penuh beliau seperti di bawah.

Krisis pencerobohan di Lahad Datu memberi pengajaran berharga bahawa aspek keselamatan negara terutama di sempadan dan perairan negara perlu dipertingkatkan.

Tidak ada mana-mana pihak yang boleh bersikap sambil lewa dengan membiarkan pengganas sewenang-wenanganya menjajah negara ini tanpa sekatan.

Persoalan utama yang sedang berlegar di kalangan rakyat negara ini adalah sejauh manakah tahap keselamatan negara khususnya di sempadan atau perairan negara?
Bagaimana pengganas tersebut dengan mudah meloloskan diri dari kawalan keselamatan negara sehingga mampu mendarat dan berkubu di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah?

Dalam keadaan nyawa dan keselamatan rakyat terutama warga Sabah sedang terancam dengan beberapa deretan peristiwa pembunuhan, perkara yang lebih menggemparkan adalah dengan pendedahan mengenai projek pemberian kad pengenalan kepada warga asing di negeri Sabah.

Ia didedahkan oleh beberapa indiviu yang pernah berkhidmat dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta beberapa agensi kerajaan lain kepada Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) mengenai projek tersebut.

Skandal ini melibatkan berpuluh ribu kad pengenalan yang dihasilkan sekitar tahun 1980-an dahulu dan lebih menggemparkan adalah penglibatan beberapa pemimpin tertinggi negara.

Projek ini telah berlalu beberapa tahun yang lampau dan mereka yang mendapat kad pengenalan tersebut telah bertebaran di merata tempat di negara ini.

Kegusaran rakyat semakin bertambah apabila memikirkan andainya ada di antara pengganas tersebut memiliki kad pengenalan yang sah dan bila-bila masa mereka boleh keluar masuk negara ini tanpa ditahan oleh penguasa.

Justeru, memang benar bahawa mereka yang menjayakan projek pengeluaran kad pengenalan kepada warga asing adalah dalang sebenar kepada keganasan dan ancaman keselamatan di Sabah yang berlaku sekarang.

Sebenarnya, mereka ini jugalah yang membuka pintu negara untuk diceroboh, ditawan dan diserang oleh mana-mana pihak yang ingin mengambil kesempatan.

Kerajaan melalui Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) perlu meneruskan siasatan terhadap projek tersebut sehingga selesai.

Kemuncaknya, kerajaan perlu bersikap tegas dengan hukuman setimpal terhadap mereka yang terlibat termasuk terhadap bekas pemimpin-pemimpin negara.

Dalam soal keselamatan negara, tidak ada kompromi terhadap mereka yang sanggup menjual kedaulatan negara ini.


0 comments:

Post a Comment