Saturday 9 March 2013

Kenyataan Rafizi Ramli, Pengarah Strategi PKR


9 Mac 2013


TINDAKAN DAN KEPUTUSAN PENTADBIRAN DATO’ SERI NAJIB MENJEJASKAN
OPERASI & KEDAULATAN NEGARA

Saya merujuk kepada dua laporan dan kenyataan berasingan yang
dilaporkan di Malaysia dan Filipina semalam yang memberi kesan besar
kepada kedaulatan negara, disamping memberi gambaran beberapa tindakan
pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak dalam menangani pencerobohan di
Sabah telah memburukkan keadaan.

Kenyataan Dato’ Seri Najib yang mengakui bahawa pentadbiran beliau
hanya mula bertindak mengambil jalan ketenteraan apabila lapan orang
anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbunuh mengesahkan keraguan di
banyak pihak sebelum ini bahawa beliau mengambil masa yang terlalu
lama untuk berunding dengan penceroboh Sulu.

Kenyataan beliau itu disiarkan semalam (7 Mac 2013) di dalam Buletin
Utama di saluran TV3. Beliau secara jelas mengakui bahawa tindakan
ketenteraan hanya diambil setelah anggota keselamatan kita terkorban.

Sebab itu, KEADILAN berpendapat adalah wajar sekiranya seluruh operasi
keselamatan di Sabah kini diserahkan sepenuhnya kepada kepimpinan
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tanpa
campur tangan dari pimpinan politik. Ini untuk mengelakkan berulangnya
salah pertimbangan di peringkat awal pencerobohan apabila tindakan
ketenteraan hanya dibuat apabila nyawa anggota keselamatan terkorban
setelah rundingan yang berpanjangan tidak membuahkan hasil.

Untuk menjaga keselamatan anggota tentera dan polis yang melaksanakan
operasi di Sabah, wajarlah keputusan diserahkan kepada kepimpinan ATM
dan PDRM yang lebih arif, supaya mereka dapat membuat keputusan dengan
cepat dan tepat tanpa terlalu terikat dengan keputusan politik.

Saya juga benar-benar khuatir dengan kenyataan yang dibuat oleh Rene
Almendras, Setiausaha Kabinet Filipina yang dipetik oleh Philippine
Daily Enquirer (yang kemudiannya turut dilaporkan oleh laman The
Malaysian Insider bertarikh 7 Mac 2013 bertajuk “Putrajaya, Manila
Offered Sulu Gunmen Exit Passes”).

Laporan itu memetik pengakuan Setiausaha Almendras bahawa pentadbiran
Dato’ Seri Najib telah bersetuju untuk tidak mengambil sebarang
tindakan terhadap penceroboh Sulu dengan syarat mereka hanya perlu
meninggalkan atau menyembunyikan senjata dan meninggalkan Sabah.

Lebih membimbangkan, laporan itu turut menyebut persetujuan
pentadbiran Dato’ Seri Najib untuk membuka kembali soal tuntutan
terhadap Sabah yang dibawa oleh penceroboh Sulu.

Kedua-dua keputusan itu, jika benar, menjejaskan kedaulatan negara.

Bukanlah hak Dato’ Seri Najib untuk membuat keputusan
sewenang-wenangnya untuk merundingkan kembali kedudukan Sabah di dalam
Malaysia dan tuntutan yang dibuat oleh penceroboh. Hak itu adalah hak
rakyat dan tanggungjawab beliau sebagai Perdana Menteri adalah untuk
mempertahankan kedaulatan negara sekeras-kerasnya, apatah lagi dalam
kes yang melibatkan pencerobohan terang-terangan seperti yang berlaku.

Malah, tawaran untuk penceroboh Sulu meninggalkan atau menyembunyikan
senjata tanpa dikenakan apa-apa tindakan memberi isyarat yang buruk
bahawa kerajaan Malaysia boleh bertolak ansur dengan pencerobohan
sedemikian rupa. Ini akan menjemput lebih banyak pencerobohan di masa
hadapan, apabila penceroboh boleh menyusup masuk dan mengambil semula
senjata-senjata yang disembunyikan.

Perkembangan-perkembangan ini memberi gambaran bercelarunya tindak
balas dan keputusan yang dibuat oleh Dato’ Seri Najib dalam menangani
peristiwa pencerobohan ini. Masa yang terlalu lama diambil untuk
berunding, ditambah pula dengan terma rundingan yang menjejaskan
kedaulatan negara, sedikit sebanyak menjejaskan keberkesanan operasi
menggempur penceroboh apabila pihak keselamatan diarahkan mengambil
tindakan setelah rundingan gagal.

Sebagai Perdana Menteri, beliau tidak ada pilihan kecuali menjawab
persoalan ini di dalam satu siding khas Parlimen mengenai pencerobohan
di Sabah. Jika beliau terus mengelak, maka keraguan di pihak rakyat
yang tertanya-tanya kenapakah krisis ini tidak ditangani dengan lebih
tegas dan cepat akan terus berlegar.


RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI

0 comments:

Post a Comment