Tuesday, 26 February 2013

‘Tiap kali PRU tawar geran tapi tak pernah dapat’

25 Feb 2013
BENTONG: “Tinggal di kawasan Menteri Besar tidak ada kelebihannya jika kami hanya layak digelar penumpang seperti pendatang tanpa izin,” keluh warga Abdul Razak Ali, 65, dari Kampung Chemomoi dekat sini.

Menurutnya, beliau telah lebih 40 tahun tinggal di situ dengan mengusahakan lima ekar sawit tetapi oleh kerana tidak mendapat geran hak milik beliau dinafikan sebarang bantuan seperti daripada Risda.

“Saya dah mohon geran tanah lot tapak rumah dan kebun sejak daripada zaman mendiang Tan Sri Chan Siang Sun jadi ahli parlimen Bentong lagi.

“Tiap-tiap kali pilihan raya umum (PRU) ada tawaran untuk diberi geran, dah beberapa kali janji tapi sampai ini tak dapat. Saya percaya tak lama lagi ada yang akan datang tawarkan untuk beri geran. Dah jadi macam umpan untuk undi.
“Apa yang saya bimbangkan apabila tidak ada geran bila-bila masa kerajaan boleh ambil. Jadi sebelum ‘pejam mata’ saya rayulah dilulus geran kami, kalau tidak apa lagi yang dapat saya wariskan kepada anak-anak,” keluhnya.

Abdul Razak berkata, Datuk Seri Adnan Yaakob sebagai wakil rakyat di sini, memang ada sesekali datang tetapi biasanya hanya mengagihkan wang atau bantuan sedangkan bagi penduduk di situ geran tanah lebih penting bagi menjamin kehidupan mereka.

http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/17019-tiap-kali-pru-ada-tawar-geran-tak-pernah-dapat


0 comments:

Post a Comment