Wednesday 27 February 2013

Pakatan dedah wujud unsur rasuah skandal balak BN Terengganu


(Oleh Arif Juhani)
PETALING JAYA 26 FEB: Pakatan Rakyat hari ini mendedahkan ada unsur rasuah dan penyelewengan dalam pengurusan balak di Terengganu semasa di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Pendedahan itu oleh Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi pada sidang media hari ini.
Rafizi berkata, skandal itu melibatkan satu modus operandi menggunakan sebuah syarikat yang diberi kelulusan membalak oleh kerajaan negeri.

Menurut anak kelahiran Kemaman itu, syarikat tersebut dikehendaki membeli saham sebuah syarikat proksi dengan harga tinggi.

“Siasatan kami dapati modus operandi pengutipan wang rasuah berkaitan balak adalah melalui penjualan syarikat ‘dormant’ yang lengkap dengan dokumen.
“Syarikat yang membeli syarikat ‘dormant’ ini kemudiannya dianugerahkan hak membalak di kawasan yang ditentukan kerajaan negeri.

“Hasil siasatan juga berjaya menjejaki penama dan syarikat yang terbabit dalam urusniaga pembelian saham,” dedahnya di ibu pejabat KEADILAN.

Difahamkan projek membalak tersebut diluluskan Mesyuarat Lembaga Mengambil Hasil Hutan Negeri pada 17 Julai 2012 yang dipercayai dipengerusikan Ahmad, melibatkan kawasan seluas 405 hektar di Hutan Simpan Hulu Setiu.

Namun pada 28 Disember 2011 iaitu enam bulan sebelum kelulusan membalak dikeluarkan, satu perjanjian dimetrai supaya syarikat terbabit membayar RM2.5 juta untuk membeli sebuah syarikat proksi yang hanya mempunyai saham berbayar RM2.

Wang jualan itu disyaki disalurkan kembali kepada individu tertentu yang berpengaruh menentukan hak membalak.

“Kami mempunyai bukti lain yang jelas menunjukkan perjanjian ini ada kaitan dengan kelulusan membalak oleh kerajaan negeri.

“Kita ada salinan surat Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu yang menunjukkan kelulusan membalak untuk sebuah syarikat terlibat dan keputusan ini diluluskan Mesyuarat Lembaga Mengambil Hasil Hutan yang disyaki dipengerusikan Ahmad,” kata Syed Azman.

“Justeru kami minta Umno BN jangan ghairah mendedahkan kononnya berlaku aktiviti pembalakan yang tidak terancang di Kelantan dan Kedah,” tempelak Rafizi berhubung laporan media BN yang mencanang isu di negeri Pakatan sebagai bahan kempen mereka.

http://www.keadilandaily.com/pakatan-dedah-wujud-unsur-rasuah-dalam-pengurusan-balak-terengganu/

0 comments:

Post a Comment